Barisan Nasional nampaknya begitu ghairah hendak menawan negeri Kelantan, selepas 18 tahun 'Serambi Mekah' itu ditadbir PAS di bawah pimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Namun masalah besar yang dihadapi mereka bukannya PAS, sebaliknya politiking dalaman Umno dan tabiat 'cah keting' di kalangan pemimpin mereka yang menjadi penghalang selama ini.
Khabarnya, Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah mula mempertimbangkan untuk mengetepikan
Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Dato' Seri Annuar Musa daripada senarai calon BN.
Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kok Lanas merupakan Ketua Pembangkang di Dun Kelantan.
Walaupun beliau menang dalam Pilihan Raya Umum 2004, namun hakikatnya pada rakyat Kelantan, bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar yang didakwa terbabit dalam penyelewengan wang PPRT itu, masih merupakan 'burden' yang menjadi penghalang BN untuk berkuasa kembali.
Ketika menghadapi PRU 2004, Umno diketuai oleh Menteri Institusi Pengajian Tinggi, Dato' Mustapa Mohamed yang memenangi Parlimen Jeli serta kerusi Dun Air Lanas.
Sekaligus ketika itu Mustapa merupakan Ketua Pembangkang di Dun.
Bagaimanapun tidak lama selepas itu, Mustapa digugurkan sebagai Pengerusi Umno negeri dan digantikan oleh Annuar Musa.
Ada sumber mendakwa Annuar mendapat jawatan Ketua Umno Kelantan selepas isteri beliau menjadi teman rapat kepada Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood semasa isteri PM itu menjalani rawatan penyakit barahnya.
Keadaan tersebut menimbulkan perasaan tidak senang hati di kalangan pemimpin-pemimpin Umno negeri kerana Annuar dikatakan tidak disenangi Sultan Kelantan.
Pada mereka, apabila Annuar menjadi Ketua Umno negeri, sudah tentulah di atas jawatan, beliau berpeluang menjadi Menteri Besar jika BN berjaya merampas kerajaan negeri.
"Wal'iyazubillah, kami pun tahu perangai Annuar Musa, kami sama sekali tidak mahu dia menjadi pemimpin kerajaan negeri," kata seorang Ketua Bahagian yang namanya tidak tersenarai.
"Ada pertimbangan pucuk pimpinan Umno untuk menggugurkan nama beliau sebagai calon BN kerana Umno sendiri tidak sedia bermasalah dengan Sultan," kata seorang Setiausaha Politik kepada Menteri baru-baru ini. - mr
0 comments:
Catat Ulasan