Selasa, 19 Februari 2008

PAS Kedah umum calon 21 Februari

ALOR STAR, 18 Feb (Hrkh) - PAS Kedah akan mengumumkan senarai nama calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada 21 Februari ini di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut.

Menurut Setiausaha PAS Kedah, Haji Yusuf Hussain, Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Haji Azizan Abdul Razak akan membuat pengumuman rasmi dalam majlis yang dijadualkan bermula pada jam 9.00 malam.

Katanya lagi, beliau menjangkakan, sekali lagi Kompleks PAS Kedah akan dihujani puluhan ribu ahli dan penyokong PAS bagi melihat lebih awal calon-calon yang akan mewakili PAS dalam pilihan raya kali ini.

Pada 16 Februari lalu, dataran kompleks sesak dengan lautan manusia bagi mengikuti ceramah perdana tiga pimpinan utama PAS terdiri dari Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din.

Sebelum ini, Ustaz Azizan membayangkan sekurang-kurangnya 15 orang calon terdiri dari tokoh muda dari pelbagai latar belakang pendidikan termasuk ulama, ahli perniagaan, profesional dan tokoh masyarakat.

Katanya lagi, PAS Kedah yakin dengan penonjolan muka baru dan muda dibantu dengan tokoh-tokoh lain yang akan bertanding kali ini, rakyat boleh menilai sendiri siapa yang bakal mereka pilih mewakili suara mereka di Dewan Rakyat dan Dun Kedah. - mks.

0 comments:

 

UndilahPas | Powered by Blogger